Ikhtilat dalam pergerakan Islam adalah suatu perkara yang perlu diambil perhatian oleh setiap orang yang terlibat secara langsung dalam pergerakan Islam sama ada dia seorang ahli usrah, naqib atau pun masul. Syariat Islam tidak memandang siapa yang memegang jawatan dalam jemaah dalam melaksanakan syariat tersebut.
Perkataan ikhtilat itu pada adatnya bermaksud pergaulan. Di dalam konteks Islam, ikhtilat boleh diertikan sebagai suatu bentuk pergaulan secara bebas yang melibatkan lelaki dan wanita ajnabi. Ia merupakan suatu bentuk pergaulan yang ditegah oleh Islam. Sesungguhnya mengambil mudah persoalan ikhtilat boleh membuka ruang kepada maksiat yang berleluasa dalam masyarakat tanpa kita sedari termasuklah mereka yang berkecimpung dalam pergerakan Islam sendiri. Tambahan pula, kemajuan era teknologi sekarang ini, ikhtilat bukan sahaja melibatkan perjumpaan antara lelaki dan wanita yang ajnabi malah dengan kemudahan yang ada
seperti Yahoo Messenger,SMS, email, Friendster dan Facebook. Jarak yang jauh didekatkan, masa yang berbeza tidak menjadi masalah begitu juga dengan kos perhubungan. Budaya ini terus menjadi darah daging masyarakat kita terutama pemuda pemudi Islam.
Kita juga didedahkan bahawa rukun yang perlu diketahui dalam pergerakan Islam adalah rukun taaruf. Akan tetapi, apa yang membimbangkan kita adalah perhubungan yang dimulakan atas dasar taaruf tetapi akhirnya melarat kepada perkongsian peribadi bukan perkongsian ilmu dan kepakaran. Maka tenggelamlah konsep 'kerja adalah kerja, peribadi adalah peribadi'. Ada juga, kononnya beralasan hendak memahami dan mewujudkan keserasian dalam bekerja. Apa yang lebih menakutkan adalah perhubungan tersebut menjadi barah ‘cinta’ walaupun pada zahirnya seakan-akan kita melihat mereka saling mengambil berat (salah guna atas nama usrah). Perkara ini, seolah-olah mencari keredhaan Allah, sedangkan mereka sudah terjerus dalam kemurkaan Allah. Kerana itulah kita perlu memahami konsep sebenar dalam bekerja kerana Allah dan batas pergaulan dalam bekerja.
CARA MENJAGA IKHTILAT
1. Elakkan berhubungan dengan lelaki sekiranya tidak ada keperluan.
Sekiranya seorang wanita mempunyai keperluan, hendaklah dia meminta bantuan dari wanita dan lelaki bagi lelaki. Mintalah pertolongan dari kaum sejenis. Melainkan perkara yang tidak diketahui atau luar kudrat kita contohnya apabila wanita meminta bantuan lelaki dalam soal membaiki laptop, kereta dan perkara-perkara yang tidak mampu dilakukan oleh wanita.
2. Berhubung dengan bukan muhrim menggunakan perantaraan berbentuk tulisan seperti sms, nota kecil dan sebagainya.
Ringkas dan padatkan ayat-ayat atau persoalan yang dikemukan kepada pihak lain. Di dalam nota yang diberikan hendaklah bersih dari ikon senyum yang sememangnya comel. Atau meletakkan ayat-ayat berbentuk humor sepertigelak ketawa (huhu, haha, hihi, hikhik). Apatah lagi benda-benda lain yang kurang berfaedah. Sekiranya terdesak untuk bercakap melalui telefon, jagalah suara anda terutama wanita selari dengan tuntutan Al-Quran:
"Wahai isteri-isteri nabi, kamu bukanlah seperti perempuan-perempuan lain jika kamu bertaqwa. Maka janganlah kamu melemah lembutkan suara dalam berbicara, sehingga bangkit nafsu orang yang ada penyakit dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan yang baik."
3. Menundukkan hati.
Sepatutnya apabila kita berurusan dengan bukan muhrim, kita perlu risaukan kemurkaan Allah Taala.Perbanyakkanlah berdoa semoga urusan dipermudahkan dan bebas daripada fitnah. Minta daripada-Nya supaya dipelihara diri dari panahan syaitan.
4. Menundukan pandangan mata.
Jangan tertipu dengan mata pelajaran kaedah berkomunikasi yang kita belajar "make eye contact with the person you're talking to". Melainkan dengan kaum sejenis. Berwaspada dengan konsep "dari mata turun ke hati".
5. Mempercepatkan urusan.
Apabila ada urusan, segerakanlah kerja. Tidak perlulah sampai hendak berkongsi hal peribadi, luahan hati, gelak ketawa dan sebagainya yang tidak penting. Berbincanglah di tempat yang sesuai dan menyegerakan urusan tersebut.
Dipetik dari :
MUHAMMAD HANIS BIN ABDUL MUTALIB
PISMP PENGAJIAN AGAMA
23 FEBRUARI 2010
1 comments:
Assalamualaikum, entri yg menarik! syukran dan salam perkenalan.
Post a Comment