Kapal Mavi Marmara Mulakan Pelayaran Dengan Sambutan Penuh Gemilang
Posted by alkahfi on 25 May 2010
Israel mengancam akan menghantar 2 atau 3 kapal penuh dengan rakyatnya yang bersenjata untuk menghalang kemasukan konvoi kemanusiaan ke Gaza. Berita ancaman yang disampaikan oleh Presiden IHH, Bulent Yildirim itu dijawab oleh sekitar 5 ribuorang dengan meneriakkan takbir dan tahlil dalam upacara perlepasan kapal utama Konvoi Kemanusiaan “Lifeline for Gaza”meninggalkan dermaga pelabuhan Eminonu, Istanbul pada hari Sabtu 22 Mei lalu. Kapal Mavi Marmara yang berwarna putih dan biru muda dan mengibarkan bendera Turki itu berlayar menuju selatan tepat jam 2 tengahari waktu tempatan (jam 7 malam waktu Kuala Lumpur), menuju pelabuhan Antalya. Kapal tersebut akan meneruskan perjalananberhadapan dengan kepungan armada tentera laut Zionis Israel pada hari Selasa 25 Mei bersama-sama 8 kapal lain daripada Turki, Greek, Sweden, Ireland dan England.
Konvoi bantuan kemanusiaan ini akan disertai oleh seramai lebih 700 orang aktivis kemanusiaan, anggota perlimen dan wartawan daripada 42 buah negara. Seramai 6 orang wakil daripada NGO Malaysia turut menyertai konvoi ini, termasuklah wakil-wakil daripda Muslim Care, Jamaah Islah Malaysia, Yayasan Amal dan Himpunan Lepasan Institusi-Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (HALUAN). Mereka turut hadir memeriahkan upacara perlepasan tersebut, bersama-sama perserta lain dari Indonesia, Kuwait, England, Sepanyol dan lain-lain lagi. Peserta konvoi akan menaiki kapal berkenaan di Pelabuhan Antalya.
Konvoi kapal kemanusiaan ini akan membawa muatan lebih dari 10 ribu tan bantuan kemanusiaan berupa bahan binaan bangunan seperti simen dan besi, ubat-ubatan, peralatan rumah hospital, peralatan sekolah dan makanan kanak-kanak dan bayi-bayi di Gaza.
Kapal Marvi Marvara berlepas dengan iringan dentuman puluhan bedilan mercun, kepulan asap penuh warna-warni dan pembebasan burung-burung merpati bersama-sama ribuan biji belon berwarna merah, hijau, hitam dan putih. Para hadirin yang terdiri daripada pemuda, pemudi, kanak-kanak sekolah, warga emas dan anak-anak sudah berkumpul di dermaga sejak jam 9 pagi menyambut perpelasan Mavi Marmara dengan pekikan “Allahu Akbar… Allahu Akbar… Allahu Akbar… Laa ilaaha illa Allahu Allahu Akbar!” Mereka tidak henti-henti mengibarkan bendera-bendera Palestin, Turki, bendera Kalimah Tauhid dan bendera negara-negara yang diwakili oleh para peserta konvoi.
Pada masa yang sama, lebih daripada 20 kapal-kapal kecil yang dipenuhi pemuda-pemudi Turki turut mengiringi bertolaknya Mavi Marmara menuju Pelabuhan Antalya. Mereka meneriakkan kalimah membela Palestin serta takbir dan tahlil sambil mengibar-kibarkan bendera Palestina dan Turki.
Sukarelawan-sukarelawan Malaysia turut menaiki salah sebuah kapal kecil tersebut bersama-sama pemuda-pemudi Turki. Lagu-lagu tema Palestin nyayian Shoutul Harokah turut dimainkan, yang membangkitkan semangat semua mereka yang menaiki kapal tersebut.
Ketua wakil-wakil NGO daripada Malaysia, Tn Haji Noorazman bin Mohd Samsuddin, merupakan pemidato yang pertama naik ke pentas. Pidato beliau telah diterjemahkan oleh Naib Presiden IHH, Huseyin Oruc, ke dalam bahasa Turki. Turut menyampaikan pidato adalah wakil NGO daripada Kuwait, England, Ketua Pertubuhan Palestin 1948 Sheikh Ra’id Salah, dan juga seorang pemuda Palestin yang cacat akibat kekejaman Israel.
Tn Haji Noorazman yang dijemput ke pentas sebagai mewakili NGO-NGO daripada kawasan Asia Tenggara. Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa rakyat Malaysia dan Indonesia telah menyatakan perasaan bencinya kepada embargo ini dengan memberikan infaq, melakukan demonstrasi, serta memberi sokongan penuh kepada konvoi kemanusiaan ini. Beliau turut mendoakan agar Allah memberkati semua masyarakat prihatin yang sudi menghulurkan bantuan bagi menyokong konvoi ini. “Saya berdiri di sini mewakili masyarakat Malaysia dan Indonesia yang jumlah penduduknya hampir 300 juta orang,” kata beliau dalam bahasa Inggeris. Beliau menegaskan, karena besarnya amanah itu, maka tekad mereka untuk menyampaikan amanah itu pun sangat besar. Meskipun diancam oleh Israel, mereka akan tetap berusaha untuk sampai ke Gaza, “Walaupun kami terpaksa berenang ke pantai Gaza!”
Syeikh Ra’id akan turut menyertai konvoi kapal kemanusiaan ini. Dalam pidatonya, Syeikh Ra’id meminta izin kepada yang hadir khususnya ribuan warga Turki, untuk menyampaikan kepada para anak yatim, janda-janda, orang cacat, orang sakit, dan seluruh warga Gaza, bahawa mereka tidak bersendirian akibat diembargo oleh Zionis Israel dan sekutunya. “Tunggulah wahai saudara-saudaraku warga Gaza, kami akan datang menemani kalian yang sedang ditimpa kezaliman!” jerit beliau.
Presiden IHH, Bulent Yildirim, turut menyampaikan pidato selama lebih setengah jam, dengan hujah-hujah penting melibatkan sikap pemimpin dunia yang bersikap dua muka terhadap permasalahan Palestin. “Kami adalah konvoi keamanan yang tidak membawa sebarang senjata. Yang ada hanyalah 150 batang pensil!” [Merujuk kepada barangan sekolah yang dibeli oleh kami relawan Malaysia, antara lain termasuklah 300 beg sekolah yang berisi peralatan menulis, setiap beg berisi 6 batang pensil]. Bulent turut berhujah, “Wahai para pemimpin dunia, wahai para pemimpin OIC, wahai para pemimpin Amerika dan Eropa, wahai Mahmud Abbas, anda melihat siaran TV Turki dan TV dunia memancarkan pelepasan kapal ini. Hari ini tolong ucapkanlah sesuatu untuk membantu Palestin, bahawa kami pergi ke Palestin untuk membantu Palestin. Tolong nyatakan kepada dunia bahawa Palestin yang sedang dijajah dan dizalimi perlu dibantu. Dan katakan kepada Israel, jangan cegah kedatangan kapal-kapal ini!”
Bulent turut menyampaikan bahawa Israel telah berkali-kali mengeluarkan ancaman akan mencegah dan menyerang konvoi kapal-kapal kemanusiaan Lifeline for Gaza. Menurut Bulent, sama sekali tidak ada perkara buruk yang dilakukan oleh kapal-kapal kemanusiaan ini. Dan menurutnya, yang buruk adalah mereka yang secara sengaja ingin menyerang kapal-kapal ini dengan senjata. “Teroris adalah mereka yang menyerang kapal-kapal bantuan kemanusiaan yang bermaksud baik dengan menggunakan senjata,” kata Bulent di tengah hujan gerimis yang semakin lebat.
Ancaman yang terakhir, menurut Bulent, adalah golongan pelampau Yahudi yang mengancam akan mengerahkan 2 atau 3 kapal membawa rakyat Israel bersenjata untuk menghadapi konvoi ini. “Bayangkan, mereka mengancam kita dengan kekerasan seperti lanun-lanun ganas,” tegas beliau. “Apakah yang akan Amerika lakukan terhadap kami jika kapal-kapal kemanusiaan ini dirompak oleh Israel? Kapal-kapal ini tidak membawa senjata, kami hanya membawa 150 batang pensil agar anak-anak Gaza dapat terus belajar,” ucap Bulent.
Sumber: http://www.haluan.org.my/v3/
0 comments:
Post a Comment